Minggu, 10 Januari 2016

Konflik Islam di Palestina - Israel

Konflik yang berlaku di Palestin di antara Arab dan Israel telah berlarutan sejak sekian lama. Jika dikira dari tarikh rasmi penubuhan negara Israel pada 15 May 1948, kita akan dapati bahawa konflik tersebut sudah berlansung selama lebih 6 dekad. Manakala jika ditinjau dari aspek sejarah Palestin moden, ia telah jatuh ke tangan pihak British semenjak tahun 1917. Ini berlaku ketika pentadbiran kerajaan Turki Uthmaniyyah telah dikalahkan oleh tentera British di bawah pimpinan General Allenby. Selepas kira-kira 3 tahun, pihak League of Nations – Liga Bangsa-bangsa (sebelum ditukar menjadi United Nations – Bangsa-bangsa Bersatu), telah memberi mandat kepada pihak British untuk mentadbir Palestin.
Ketika itu, Palestin secara rasmi diletakkan di bawah pentadbiran pihak British yang juga dikenali sebagai British Mandate. Ketika penulis menyelidik beberapa sumber, didapati bahawa para sarjana hampir sepakat mengatakan bibit-bibit kejatuhan Palestin itu bermula sejak akhir abad ke 19 Masihi disebabkan oleh kelemahan pemerintahan kerjaan Turki Uthmaniyyah. Ia turut ditambah dengan kewujudan agenda zionis selepas Pertubuhan Zionis Dunia (World Zionist Organization) ditubuhkan dengan rasmi pada tahun 1897.
Umat Islam di Palestin tidak berdiam diri ketika negara mereka di bawah pemerintahan British. Ia seakan bentuk penjajahan yang berlaku ke atas negara mereka, sepertimana juga boleh digambarkan dengan apa yang berlaku di Tanah Melayu. Di Palestin, para penduduk mereka termasuk para ulama’ terus berjuang untuk mencari keadilan dan membebaskan negara mereka dari cengkaman pihak luar. Nama-nama seperti Haji Husaini, Mufti Palestin, terkenal dengan sikap yang ditunjukkan beliau dalam menentang dasar-dasar pihak penjajah yang mula berlembut dengan golongan Yahudi dan membawa golongan ini masuk ke Palestin. Ini adalah sebahagian dari usaha pihak Zionis untuk menyelamatkan golongan Yahudi yang ditindas di Eropah, lebih-lebih lagi di Eropah Timur. Usaha golongan Yahudi ini sebetulnya didalangi oleh Pertubuhan Zionis, satu kumpulan yang ditubuhkan pada asalnya untuk membela golongan Yahudi. Tetapi oleh kerana ia dipimpin oleh golongan sekular, maka sebahagian mereka ingin menubuhkan sebuah negara. Ini juga terkandung di dalam dokumen yang dikenali sebagai Judenstat atau The State of Israel. Ia adalah hasil daripada pemimpin pertama Pertubuhan Zionis, iaitu Theodor Herzl. Dokumen ini telah menjadi bahan utama dalam mereka mencari jalan untuk menubuhkan sebuah negara bagi golongan Yahudi.
Golongan Yahudi di Eropah Timur sememangnya memerlukan pembelaan kerana mereka telah ditindas sejak sekian lama. Mereka adalah golongan yang tidak mendapat tempat, malah mereka amat bimbang untuk mengaku sebagai Yahudi kerana mereka akan dihalau, dipaksa dan sebagainya. Sebab itulah wujudnya istilah anti-semitism, di mana ia sebenarnya berlaku di Eropah. Ini jelas dapat dilihat apabila Achcar ada menyatakan “previous waves of anti-Semitism were at their peak when you had Jewish immigration from Eastern Europe – that’s a well-known historical fact.”
Tetapi terbalik pula pada waktu ini ada yang mengaitkan anti-semitism sebagai sikap Islam terhadap orang-orang Yahudi. Ini silap. Sebenarnya Yahudi telah mendapat pembelaan semenjak Islam mentadbir Palestin. Saidina Umar telah membenarkan golongan Yahudi untuk berkongsi kesucian Bayt al-Maqdis setelah mereka dihalang semenjak tahun 135 Masihi untuk memasuki kota tersebut oleh Roman Byzantine. Pada ketika ini, penentangan orang Islam ke atas Israel bukan kerana mereka Yahudi tetapi disebabkan oleh mereka merampas tanah orang Palestin untuk mendirikan negara mereka. Peluang Zionis untuk membina negara bagi golongan Yahudi di Palestin terbuka luas kerana ketika Deklarasi Balfour dikeluarkan, Palestin sudah berada di bawah penjajahan British. Ini berlaku selepas pasukan tentera Islam di bawah kerajaan Turki Uthmaniyyah gagal untuk bertahan sehingga tewas dan terpaksa menyerahkan wilayah penuh sejarah itu kepada pihak lawan. Banyak cara digunakan oleh Zionis untuk memungkinkan mereka mencapai hasrat mewujudkan sebuah negara. Mereka menghalau penduduk keluar dari kampung-kampung mereka, mencetuskan ketidakstabilan, menyerang masyarakat kampung dan sebagainya. Mereka didorong melakukan apa saja kerana mereka telah mendapat sokongan kuasa dunia. Jadi, tidak ada apa yang ditakutkan ketika mereka melakukan keganasan terhadap penduduk-penduduk Palestin.
Selepas penubuhan negara Israel disiytiharkan, penduduk berbangsa Arab di Palestin menerima kesan yang sangat pedih, di mana ada di antara mereka yang dihalau keluar dari kampung halaman mereka. Ramai yang terpaksa keluar dari Palestin dan mula tinggal di kem-kem pelarian sementara yang didirikan di sekitar tanah Palestin seperti di Jordan, Syria, Lubnan dan Mesir. Sehingga hari ini, masih ramai yang tinggal di kem-kem pelarian tanpa mendapat pembelaan yang sewajarnya. Malah, dunia tetap menghukum mereka kerana tidak mahu memberikan kerjasama dalam menerima dan mengiktiraf kewujudan Israel.

Semenjak Israel menang Perang-6-Hari dan seterusnya menawan serta menjajah (occupied) Jerusalem Timur pada bulan Jun 1967, 19 Masjid al-Aqsa dan Bayt alMaqdis terus dikuasai oleh Yahudi secara politik dan perundangan, sehinggalah ke hari ini. Masyarakat Islam Palestin dan antarabangsa tidak dapat untuk mengunjungi Masjid al-Aqsa secara bebas. Mereka harus mendapat kebenaran terlebih dahulu dari pihak tentera Israel. Inilah kesan penjajahan yang mereka lakukan ke atas tanah Palestin ini. Hasil dari penjajahan itu juga, Palestin telah mengalami pelbagai peristiwa yang mewarnai kedukaan umat Islam. Pada 21 Ogos 1969, Masjid al-Aqsa telah diserang dan dibakar oleh musuh yang tidak bertanggungjawab. Bahagian masjid yang teruk terbakar ialah di sebelah tenggara yang turut dikenali sebagai al-Haram al-Sharif. Satu bahagian yang bersejarah turut hangus iaitu Mimbar Masjid berusia 1000 tahun yang telah didatangkan dari Aleppo pada zaman Salahudin al-Ayyubi. Pembakaran itu angkara durjana pelancong dari Australia, Michael Denis Rohan, penganut Kristian Evangelical, mazhab yang dikenali sebagai Worldwide Churh of God. 

Tidak ada komentar:

Posting Komentar